Memaafkan Orang Lain; "Zaman sekarang ramai orang yang suka menyebarkan fitnah atau cerita yang berunsur sensasi. Golongan sebegini memang wujud dalam masyarakat. Apakah ancaman Allah سبحانه وتعالى kepada mereka?"
"Allah سبحانه وتعالى akan balas dengan azab yang pedih di dunia dan juga akhirat. Kalaulah tidak kerana Allah سبحانه وتعالى bersifat Rahmat ke atas hamba-Nya sudah pasti akan dibalas kejahatan itu dengan serta-merta. Mereka yang menzalimi orang lain lebih daripada kezaliman yang dilakukan ke atasnya adalah orang yang akan dimurkai Allah سبحانه وتعالى."
"Mereka yang rela memaafkan pula adalah seperti termasuk dalam sifat golongan 'Ulul Azmi, yang akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda kerana perbuatan itu memang sukar dilakukan. Dalam kalangan para Rasul, ada lima orang Rasul Ulul-Azmi dan ciri utama mereka adalah suka memaafkan. Dunia ini adalah sementara sedangkan kemaafan Allah lah yang kekal abadi."
"Sedikit huraian daripada ayat yang dibacakan. Ada beberapa ciri orang yang hebat yakni berjaya yang akan diberi keuntungan iaitu orang yang menjauhi dosa besar, apabila marah mereka memaafkan, orang yang menyahut seruan dan perintah Allah, mengerjakan solat, menginfakkan harta pada jalan Allah, dan berbincang bersama dengan masyarakat orang yang cuma membela diri apabila dizalimi dan tidak melampaui batas."
"Ada satu kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه وأرضاه, Beliau memang terkenal dengan sifat pemurah dan banyak menolong orang miskin. Tetapi apabila disiasat, rupa-rupanya orang yang menyebarkan fitnah tentang Saidatina Aisyah yakni anaknya yang merupakan orang yang pernah dibantunya. Abu Bakar menjadi sedih dan oleh sebab itu Allah menurunkan ayat agar Abu Bakar memaafkan sahaja dan meneruskan membantu orang susah kerana dengan itu Allah akan mengampunkan dosanya."
"Apabila mendengar tawaran pengampunan dosa daripada Allah سبحانه وتعالى, jadi Abu Bakar pun cepat-cepat memaafkan dan meneruskan bantuannya kepada mereka yang susah. Dalam kalangan kita, memang ada ramai yang sukar memaafkan. Ataupun jika sudah memaafkan, namun masih ramai yang tidak boleh melupakan kezaliman yang dilakukan kepadanya."
"P.Ramlee ada menulis lagu yang berbunyi; “Sedangkan Nabi ampunkan umatnya”, namun ada pula yang kata itu Nabi, Nabi hatinya bersih dan tidak sama seperti kita. Ini tidak betul sebenarnya kerana apabila Allah سبحانه وتعالى menjadikan Rasulullah ﷺ sebagai contoh terbaik buat kita."
"Justeru, maknanya peribadi dan sifatnya boleh ditiru oleh manusia lain. Oleh itu, ingat-ingatlah sedangkan kekasih Allah pun suka memaafkan, siapalah kita yang serba kekurangan ini. Bersyukurlah pada Allah سبحانه وتعالى yang kita dikumpulkan dalam majlis ilmu pada hari Jumaat yang diberkati, dan pada bulan Ini yang diberkati. Dihujung-hujung tahun sebegini, mari bersama renungkan sejenak berapa banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita."
"Setelah itu, renungkan juga berapa banyak dosa yang telah kita lakukan kepada Allah. Dalam pada kita melakukan kesalahan demi kesalahan, Allah سبحانه وتعالى tetap memberikan nikmat yang mencurah-curah kepada kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Pemaaf. Allah beri kita pelbagai ruang dan cara untuk dimaafkan."
"Dan contohnya dengan berada di dalam majlis ilmu, seluruh makhluk akan mendoakan keampunan untuk kita. Ketika bersedekah pun dosa akan diampunkan juga. Begitu juga ketika bersalaman dengan rakan-rakan, mengerjakan solat dan sebagainya. Allah tidak pernah jemu untuk memaafkan hamba-hamba-Nya. Mulakan hari Jumaat ini dengan baik iaitu dengan solat berjemaah, dengan banyak berzikir dan berselawat. Mudah-mudahan kita akan mudah mengikut sifat pemaaf Nabi Muhammad ﷺ."
"Namun, Allah سبحانه وتعالى bersifat Maha Pengasih dan membuka pintu taubat kepada manusia. Allah berpesan agar manusia tidak mengikuti jejak langkah syaitan. Jika bukan kerana rahmat Allah, kita ini semua akan kekal berdosa."
"Allah سبحانه وتعالى yang memberi hidayah untuk kita memohon keampunan kepada-Nya. Oleh itu, jangan kita suka mengata orang lain, kita tak lihat diri kita pulak, banyak berdosa dan selalu melupakan dosa diri kita sendiri."
Daripada Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jofre
No comments:
Post a Comment