Friday, February 12, 2016
Allah Gembira Dengan Manusia Yang Bertaubat
Daripada Anas bin Malik radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ
Allah lebih gembira dengan taubat hambanya ketika dia bertaubat kepada Nya, melebihi kegembiraan salah seorang daripada kalian yang menunggang haiwan tunggangannya di padang pasir. Lalu haiwan tunggangannya itu menghilangkan diri sedangkan di atas haiwan tunggangan itu terdapat bekalan makanan dan minuman.
فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ
Lalu lelaki itu telah berputus asa dan terus pergi ke sebatang pokok, lalu berbaring berteduh di bawahnya. Sesungguhnya dia telah berputus asa daripada menemui haiwan tunggangannya. Ketika dia dalam keadaan begitu, tiba-tiba dia mendapati haiwan tunggangan itu berdiri di sebelahnya.
فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ . أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Dia pun menarik tali untanya kemudian disebabkan terlalu gembira, dia berkata: Ya Allah, Engkau hamba ku, dan aku tuhan Mu. Dia tersilap cakap kerana terlalu berasa gembira. [Sahih Muslim, Kitab at-Taubah, hadis no: 2747]
Faedah hadis:
1- Allah bergembira dengan orang yang bertaubat. Kita sebagai manusia hendaklah bergembira apabila ada rakan-rakan kita bertaubat. Kita sepatutnya memotivasikan mereka, dan bukan memperleceh mereka.
2- Sifat gembira Allah. Hadis ini menjadi dalil bahawa salah satu sifat Allah ialah gembira dan bagaimana sifat gembiranya tidak diketahui, dan yang pasti ia tidak sama dengan makhluk. Inilah yang disebutkan oleh Imam Al-Sobuni dalam Aqidah Ashabil Hadis, Al-Baghawi dalam Syarhussunnah, Ad-Darimi, Ibn Qutaibah dan lain-lain. Sebahagian ulama seperti Al-Hafiz Ibnu Hajar, Imam an-Nawawi mentakwilkan kepada sifat redha.
3- Ini menunjukkan jika terlafaz kalam kufur tanpa sengaja seperti dalam hadis di atas, maka seseorang itu tidak berdosa dan dia dimaafkan oleh Allah.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment