Tuesday, December 8, 2015

Betapa Dahsyatnya Seksaan Di Hari Akhirat




Tazkirah : Betapa Dahsyatnya Seksaan Di Hari Akhirat.

Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kalian membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam Neraka Jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah hebat dan dahsyatnya seksaan di Neraka Jahanam, yang akan dipenuhi oleh jin dan manusia yang derhaka dan melakukan dosa ketika di dunia.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.
Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Kita perlu ulang-ulangkan kisah-kisah hari akhirat dan seksaan neraka sebagai motivasi supaya kita tidak terlalu buru keduniaan sehingga melupakan bahawa setiap di antara kita akan meninggalkan dunia yang fana ini.

Dengan mengingatkan tentang kematian, seksa kubur, penderitaan di himpunkan di Padang Mahsyar, di hisab dan ditimbang segala amalan baik dan buruk, meniti siratul mustakim dan seksaan neraka maka akan menghidupkan hati yang leka dan lupa. Mengilapkan lagi hati yang berpenyakit kerana terlalu cintakan dunia dan takut mati.

No comments:

Post a Comment